Terlewatkah?

Orang kata, tiada istilah terlambat untuk melakukan sesuatu. Mungkin juga ungkapan ini sebenarnya lebih bersifat untuk menyenangkan hati sendiri; atau mungkinkah ada kebenaran tentang istilah tersebut. Cuma, apa yang pastinya, terlambat atau terlewat itu lebih baik dari tidak buat langsung; setuju?

Setelah berada di dalam zon umur 40-an ini, aku terfikir banyak benda tentang kehidupan. Satu persatu datang menerobos ke dalam minda. Antara ungkapan yang seakan memberikan suatu renjatan dalam mindaku ialah;

Kita tidak perlu mengulangi kesilapan atau situasi yang pernah dilakukan oleh orang lain dengan alasan pengalaman diri adalah guru yang terbaik.

Individu yang bijak akan memanfaatkan pengalaman orang lain dan juga pengalaman diri sendiri sebagai panduan dalam melakar perjalanan kehidupan mereka.

Jika diperhatikan, ternyata saranan dalam agama juga seperti itu. Banyak kisah individu yang dirakamkan di dalam al-Quran untuk kita jadikan iktibar, supaya kita jangan ulang kesilapan yang pernah mereka lakukan.

Jika kita merasa bahawa kita sudah terlewat untuk melakukan sesuatu yang berfaedah dan bermanfaat dalam kehidupan, maka ketahuilah sekecil mana pun atau selewat mana pun kita bermula, itu jauh lebih bermakna berbanding tidak buat langsung.

Banyak sahaja perkara baik dan bermanfaat untuk kita mula laksanakan, contohnya: senyum, jaga solat, jaga puasa, menabung, bayar hutang, bersedekah, berfikiran positif, memaafkan, meminta maaf, jaga kesihatan (mental dan fizikal), bersenam, jaga pemakanan, berhenti merokok, bersosial dengan orang-orang yang soleh (baik), baca quran, berselawat, membaca dan banyak lagi.

Selagi ada waktu, buatlah sesuatu yang bermanfaat, tidak rugi pun.

Kongsi catatan ini?