Jangan berhenti boikot. Bukti sudah di depan mata. Jika kita bersatu hati berganding bahu sesama kita, pasti ada progres sekaligus membawa impak yang besar.
Kalau boikot tiada kesan, mustahil dia berbunyi kan.
Teruskan, jangan berhenti. Semoga melaluinya sifat kepedulian sesama kita semakin menebal di dalam jiwa.
Semoga kita dikurniakan keberkatan di bulan Rejab, Syaaban dan dapat bertemu dengan bulan Ramadan yang bakal menjelang tiba iaitu lebih kurang 2 jam 11 minit dari sekarang mengikut waktu Kota Kinabalu, Sabah. Amin.
Ibuku selalu berkata, penyesalan itu berlaku pasti berlaku pada akhir cerita, tidak di permulaannya. Biasa kita dengar ungkapan “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”.
Hidup kita tidak lama, lebih kurang sekitar 60 tahun ke 70 tahun berdasarkan data life expectancy table yang boleh kita google di internet. Kalau lebih, itu bonus.
Dalam kita menjalani kehidupan, selain pengalaman sendiri, pengalaman hidup orang lain boleh kita jadikan sebagai rujukan, panduan atau penanda aras. Aku ada tulis catatan ringkas yang berkaitan di sini.
Tetapi, ya; benda yang dilarang itulah yang paling ingin dilakukan orang. Seolah-olah ia telah menjadi satu formula atau ketetapan pada sisi gelap manusia.
Tiada keperluan untuk mencuba-cuba atau bereksperimentasi dengan kesilapan yang kita tahu pernah dilakukan individu lain. Kita sudah tahu apa yang bakal terjadi kemudian, kenapa kita mahu ulang kesilapan yang sama?
Contoh paling umum kita boleh kaitkan ialah dadah. Sejak dari mula bersekolah dahulu telah diajarkan, diberitahu, diingatkan tentang dadah dan kesan buruk akibat dadah. Tetapi kenapa ramai yang terjebak?
Banyak faktor kenapa kita terjebak mengulangi kesilapan manusia yang lain, antaranya;
Tidak percaya atau menganggap kesilapan yang pernah dilakukan oleh orang lain itu sebagai suatu mitos atau alasan untuk menakut-nakut.
Mengambil keputusan terburu-buru tanpa memberi masa yang mencukupi untuk merancang atau memikirkan kesan jangka panjang.
Tidak memahami sepenuhnya konteks atau faktor yang mempengaruhi keputusan atau suatu tindakan.
Gangguan emosi, gangguan fizikal atau kehilangan fokus.
Gagal memahami dan mempelajari pengalaman dari kesilapan orang lain.
Sikap angkuh atau ketidakmampuan untuk menerima pandangan orang lain boleh menyebabkan kita mengulangi kesilapan yang seharusnya dapat dielakkan.
Lebih mempercayai orang lain berbanding ahli keluarga sendiri.
Namun, jangan sesekali kita menganggap diri lebih baik daripada mereka yang melakukan kesilapan.
Itu sombong namanya. Allah sangat benci. Bila Allah benci, memang susah sangat urusan hidup dunia akhirat.
Aku buat silap, semua orang buat silap; kecuali para anbiya dan mereka yang Allah kehendaki.
Kesilapan orang lain kita jadikan sebagai iktibar dan pengajaran. Bukan sebagai cemuhan dan hinaan.
Segala sesuatu yang berlaku tertakluk di bawah tadbir urus Allah. Aku tidak layak untuk membicarakan perkara yang mendalam ini. Carilah guru mursyid yang mengajarkan sifat 20, insya Allah diberikan kefahaman.
Berdoalah bersungguh-sungguh kepada Allah agar memelihara diri kita daripada kesulitan di dunia dan akhirat.
Semoga diberikan jalan keluar daripada semua masalah yang dihadapi.
Jangan berputus asa dengan rahmat dan kasih sayang Allah.
Kelmarin semasa belek-belek facebook reels, ternampak satu video perbincangan yang mengupas persoalan kenapa anak-anak berbohong?
Anak berbohong kerana ada pengalaman yang “kurang enak” ketika berkata benar dengan ibu-bapa
Ketika mereka mengalami pengalaman yang kurang enak sewaktu berkata benar, mereka kemudiannya mencuba untuk berkata bohong sebagai alternatif, dan hasilnya, (sebelum pembohongan diketahui) mereka berjaya mengelakkan daripada mengalami pengalaman kurang enak seperti dimarahi dan seumpamanya.
Lebih kurang seperti itu panel tersebut memberikan pendapatnya yang ringkas, sederhana tetapi membuatkan kita berhenti berfikir sebentar.
Ya bukan mudah mendidik anak untuk berkata benar, lebih-lebih lagi mendidik mereka untuk mengungkapkan kebenaran walaupun ianya pahit.
Leave a Reply