Mengurus Konflik

Menurut Gus Baha, konflik itu bermula dengan perasaan tersinggung yang akhirnya berlarutan sehingga menyebabkan berlakunya perbezaan pendapat, kepentingan dan matlamat di antara dua belah pihak atau lebih. Hal ini akan mengakibatkan ketegangan, pertikaian atau pergaduhan di antara mereka.

Gus Baha ada menceritakan suatu tentang kisah yang menarik tentang Imam Syafie.

Ada seseorang datang berjumpa Imam Syafie dengan penuh adab dan takzim. Tetapi di belakang Imam Syafie, orang tersebut berkata sesuatu yang buruk terhadap beliau.

Bila hal tersebut disampaikan kepada Imam Syafie, beliau tertawa sambil berkata;

“Ternyata saya seorang yang berwibawa. Buktinya, dia tidak berani berkata sebegitu di hadapan saya”.

Dalam situasi yang lain, disampaikan kepada Imam Syafie bahawa separuh daripada penduduk kampung di suatu tempat tidak menyukai beliau, kerana Imam Syafie selalu menyampaikan kebenaran.

Ternyata jawapan Imam Syafie santai dan bersahaja;

“Ya, itu sesuatu yang bagus. Mereka tidak suka saya, bererti mereka tidak akan berhutang dengan saya”

Daripada kisah tersebut, Gus Baha menjelaskan bahawa orang alim terdahulu seperti Imam Syafie, menguruskan sesuatu hal yang mungkin menyinggung perasaan atau emosi mereka dengan cara sederhana.

Kemahiran mengenal pasti nilai positif di sebalik perkara yang membuatkan kita tersinggung, atau sakit hati merupakan salah satu cara untuk menghindarkan konflik.

Ya, bukan mudah untuk berfikiran positif selalu. Tetapi jika tidak berusaha, bagaimana hendak mendapatkan hasil, betul kan?

Membaca kisah seperti ini, sedikit sebanyak dapat membuka mata hati untuk memandang bahawa, tidak semua perkataan, sangkaan, persepsi, tingkah laku orang lain yang negatif terhadap kita dapat menjejaskan ketenangan emosi sekiranya kita boleh mencontohi seperti yang dilakukan oleh Imam Syafie.

Tidak mudah, tetapi cubalah sedikit demi sedikit. Itu lebih baik daripada tidak mencuba langsung.

Kau tenang saja bah. Ok bah kan?

Kongsi catatan ini?